Mohd Shahridwan bin Ramli
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang,segala puji bagiNya,dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw.



Sudah lama dah tak menjenguk laman ini.Bila melihat,terasa sedih,kerana melihat diriku yang sedang hanyut di halaman kampung.Namun,semangat tidak mahu futur,kusahut jua.Atas dorongan dan desakan sahabat,Apip(nama sebenar) ,"mat,lu bila nak post baru.Gua tunggu nak baca ni".So,i'm trying.It's so sweet bab drama indon tu.Hehehehe.dan juga sahabat-sahabat lain yang tak dapat kunyatakan di sini.

Aku ingin sekali menyatakan dan menulis tentang sikap kebanyakan golongan yang membawa risalah dakwah atau Islam,yang kadang-kadang aku rasa tak patut dan perlu diperbaiki demi kemashalatan agama ini.Aku kekadang kurang mengerti kenapa tugas dakwah ini selalu dislah ertikan sebagai tugas menghukum sesetengah golongan yang alpa atau jahil.Justeru kucoretkan seberapa kumahu dari pembacaanku dan pengalamanku.

Dalam erti kata, dakwah bererti seruan atau panggilan untuk membawa manusia mengabdikan diri sebenar dan setulusnya kepada Allah, tunduk dan akur sepenuhnya kepada perintah Ilahi, patuh dan setia sebulatnya kepada tatahidup rabbani selain menzahirkan yang haq dan mencegah yang batil.

Al-Quran dengan jelas merujuk kepada tuntutan dakwah di dalam surah Ali Imran, ayat 104: Dan hendaklah ada diantara kamu golongan umat yang menyeru (berdakwah kepada kebajikan, menyuruh kepada yang baik (amar makruf) dan mencegah yang mungkar (nahi mungkar); merekalah orang-orang yang berjaya.

Dan juga suarah yang sama dalam ayat ke 110 di mana ummat Muhammad ,kita semua diberi tanggungjawab yang teristimewa iaitu: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

Ayat ini menyarankan bahawa untuk menjadi umat yang berjaya dan mendapat kemenangan (al-fallah) kita hendaklah melakukan dakwah seluasnya. Islam memerintahkan setiap Muslim agar berdakwah menurut kadar kemampuan masing-masing sesuai dengan Hadis Rasullullah SAW yang bermaksud; Sebarkan apa yang kamu peroleh daripadaku walaupun sepotong ayat.

Ruang lingkup dakwah itu cukup luas yang meliputi dari tahap pembinaan sahsiah (keperibadian) Islamiah hinggalah ke tahap pembinaan khalifah Islamiah.

Justeru tugas berdakwah bukan hanya terpikul di bahu Ulama sahaja tetapi ia adalah amanah untuk umat seluruhnya. Menyedari hakikat ini para pendakwah (daei) harus berusaha meningkatkan kefahaman mengenai fiqh dakwah dengan segala kaedah, usaha, tatasusila dan kod etikanya.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl (16); ayat 125 mendidik kita bagaimana cara untuk berdakwah; Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu (dengan hikmah dan nasihat pelajaran) yang baik dan bantahlah (hujah) mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

Ayat ini dengan jelas menetapkan tiga prinsip asas yang perlu dipatuhi dalam urusan dakwah. Prinsip yang pertama ialah dakwah berhikmah, untuk menyampaikan seruan dakwah dengan cara yang penuh dengan hikmah (bijaksana). Hikmah itu bolehlah disimpulkan sebagai menggunakan pendekatan yang paling bijaksana, tepat dan berkesan dalam menghadapi suatu golongan tertentu dalam suatu keadaan dan suatu suasana yang tertentu.Prinsip yang paling penting janganlah terlampau menonjol dan memalukan mad’u dalam urusan dakwah kerana ia akan menjauhkan dirinya dengan islam.

Prinsip dakwah yang kedua ialah al-mau’izatul hasanah iaitu dakwah itu perlu disampaikan dengan pengajaran dan nasihat yang baik. Nasihat yang baik bukan hanya berbentuk tutur kata yang manis dan sedap didengar tetapi ia mestilah disertakan dengan penuh keikhlasan dan contoh teladan yang baik.

Rasullullah SAW mengingatkan kita dalam hadisnya addinun Nasihah yang bermaksud ‘Agama itu ialah nasihat-menasihati’.

Prinsip yang ketiga ialah mujahadah billati hiya ahsan yang bermaksud berhujah atau berdebat dengan cara yang lebih baik. Memang berbatahan yang tanpa tujuan tidak digalakkan oleh Islam tetapi dalam keadaan di mana perbantahan itu perlu demi menegakkan kebenaran, maka ia perlu dilakukan dengan cara yang baik.

Debat dalam pengertian Islam ialah untuk mendidik manusia supaya tunduk dan akur kepada perintah Allah SWT. Yang perlu dikenalpasti ialah apa yang benar, bukan siapa benar ataupun apa yang salah dan bukan siapa yang salah. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Imam Hassan AL-Hudhaibi dengan kalimah “Pendkwah bukan Penghukum”

Dakwah Islamiah adalah bersifat bashiran wa nazira iaitu membawa khabar gembira dan juga memberi peringatan. Tugas pendakwah ialah menyampaikan apa yang benar dan baik untuk masyarakat walaupun mungkin apa yang baik dan benar itu tidak disenangi.

Al-Haq (kebenaran) adalah perintah dari Allah SWT bukan karya gubahan manusia. Yang perlu dilakukan oleh pendakwah ialah menyampaikannya dengan cara yang paling hikmah dan menepati segala prinsip dakwah.

Dakwah punya bahasanya sendiri, sopan tetapi tegas. Al-Quran membawa kisah bagaimana Nabi Musa dan Nabi Harun menasihati Firaun seperti diungkapkan dalam surah Taha (20: ayat 43-44); Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telahmelewati batas. Maka berbicalah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.

Dalam kisah yang lain pula suatu ketika Khalifah Al-Makmun Ibnu Harun Ar-Rashid telah didatangi oleh seorang pendakwah yang mengkritiknya dengan bahasa yang keras dan pedas lalu Khalifah Al-Makmun menjawab ‘Nasihatilah aku dengan sopan kerana Firaun itu lebih jahat daripada aku Nabi Musa itu lebih baik daripada kamu, namun demikian Nabi Musa menggunakan bahasa yang baik untuk menasihati Firaun.

Pengajaran dari kisah-kisah tersebut ialah para pendakwah perlulah mempunyai hikmah dan tahap kesabaran yang tinggi apabila berhadapan dalam saat-saat dakwah yang kritikal dan mencabar. Pendakwah harus bersikap proaktif dan tidak reaktif dalam mengharungi cabaran dakwah. Justeru,ambillah sebanyak mungkin pengajaran daripada cerita ini.Sungguh yang diajak adalah manusia,insan yang ingin diajak ke jalan ini.Janganlah terlampau kritik kerana kadang-kadang ia akan mendatangkan fitnah kepada Islam atau kita sendiri.

Walau apapun cabarannya prinsip dan ketulenan Islam wajib dijaga. Untuk menambah keberkesanan dakwah para pendakwah tidak boleh jumud dan beku di takuk lama. Mereka harus tampil di tengah-tengah gelanggang berhadapan dengan kemelut umat dan seterusnya menawarkan formula penyelesaian yang praktikal. Justeru pembacaan harus diperbanyakkan selain melatih diri dengan senior ataupun melalui pengalaman pribadi.

Proses dakwah yang berkesan mampu menyediakan umat untuk menghadapi alaf baru. Malek Ben Nabi seringkali mengingatkan dalam analisisnya bahawa kekuatan sesuatu bangsa itu bergantung kepada dua factor iaitu kekuatan ruhiyyah wa akliyah – kekuatan spiritual dan mental yang berpaksikan ilmu yang mendalam dan merentasi pelbagai bidang serta dipandu oleh rasa iman yang begitu mantap.

Moga kita lahir sebagai seorang pendakwah yang unggul,bukan penghukum yang berkuasa.Mungkin kita mampu melontarkan sebanyak mana hujah untuk mendokong apa yang kita perkatakan,untuk membuktikan kesalahan dan keburukannya,namun,kita boleh menjadi seorang pendakwah yang unggul jika kita benar-benar memahami tujuan dakwah ini.Jadilah pendakwah dan bukan penghukum.Sesungguhnya ilmu ini milik Tuhan,dan ia akan dikembalikan.
2 Responses
  1. epi Says:

    salam warah,

    menarik entry nih..hehe