Mohd Shahridwan bin Ramli

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang,segala puji bagiNya,dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw.

Oleh; Dr. Samsu Adabi Mamat

Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia

Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.


Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

Mohd Shahridwan bin Ramli

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang,segala puji bagiNya,dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw.

Kali ini penulis ingin membawa pembaca menyoroti sejarah sebuah ummah yang pernah menguasai dunia pada suatu ketika duhulu. Penulis juga ingin membongkar punca kejatuhan kecemerlangan tamadun Islam lampau serta berkongsi resepi dengan pembaca bagaimana untuk mengembalikan sinar gemilang Islam semula.

Sedar atau tidak, umat Islam pada masa lampau pernah gah dalam bidang keilmuannya. Sebut sahaja dalam bidang mana umat islam tidak menerokainya, dari ilmu falak sehinggalah ke ilmu geologi, semua dikaji dan diterokai sepenuhnya oleh umat Islam lampau. Mustahil kita tidak pernah mendengar nama Ibnu Sina yang amat mahir dalam bidang kedoktoran, Ibnu Batutta dengan kepakaran ilmu pelayarannya. Masakan kita lupa dengan nama Al-Haitham yang sinonim dengan keilmuan fiziknya yang tinggi serta kepintaran ilmu hisab dan matematik, Al-Jabbar. Bahkan ramai lagi ilmuan serta sarjana Islam yang mempelopori bidang keilmuan sains dan teknologi ini. Betapa kita amat bangga sekali dengan ketokohan dan ketinggian ilmu mereka. Bertambah bangga kita apabila mereka turut mengadaptasi ilmu mereka dalam skop Islam sehingga menjadi bahan rujukan seluruh dunia hingga kini. Begitu tinggi semangat umat Islam lampau untuk memastikan Islam dipandang tinggi.

Cukup bagi kita untuk menggambarkan kisah seorang tokoh Islam yang meluaskan pengaruh Islam dengan semangat jihad yang tinggi dan taqwa sebagai perisainya. Bersama kita renungkan kisah seorang pemuda Islam yang berjaya membuka Constantinople di Turki pada usia 21 tahun. Beliau yang dimaksudkan ialah Sultan Muhammad Al-Fatih. Beliau menemui teknik luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas yang amat sukar dimasuki kerana dihalang dengan rantai besi bagi tujuan pertahanan kota Constantinople pada masa itu. Beliau menyarankan kepada tenteranya agar membawa kapal-kapal masuk ke perairan melaui jalan darat. Dengan semangat dan kekuatan luar biasa, mereka telah berjaya menarik 70 buah kapal dari pantai melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi tiga batu dalam hanya satu malam sahaja. Semangat yang tinggi ditunjukkan oleh Al-Fatih dan tenteranya ini cukup untuk menimbulkan izzah atau bangga dalam diri kita sebagai umat Islam sampai ke hari ini. Masakan tidak, bukan calang-calang orang yang boleh melakukannya. Sudah beberapa kali usaha penaklukan kota ini dilakukan tetapi semuanya menemui kegagalan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah saw. “Sesungguhnya Constantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.” (HR Imam al-Hakim, Imam ath-Thabrani dan Imam Ahmad)

Pembaca yang bijaksana,

Itu hanyalah secebis peristiwa yang kekal tersimpan dalam lipatan sejarah ummah. Kita berbangga dengan kecanggihan teknologi dan ketamadunan Islam lampau. Kita berbangga dengan sejarah penaklukan dan pemerintahan umat Islam lampau hampir dua per tiga dunia. Kini, Masjid Aya Sofya di Turki hanyalah dijadikan muzium dan tiada lagi alunan azan berkumandang. Nyata impak yang berlaku pada zaman kejatuhan sistem khulafa pada tahun 1924 kepada dunia Islam amat besar. Kita tidak lupa bagaimana Sultan Abdul Hamid II diguling dan dihalau dari istananya dengan cara yang sangat mengaibkan. Berakhirnya era khulafa Islam digantikan dengan cara pemerintahan Mustafa Kamal At-Tartuk yang dilaknat. Juga kita lihat bagaimana Abasiyyah yang begitu maju dalam keilmuan sainsnya dan berjaya menguasai hampir seluruh populasi dunia ketika itu, sehingga khalifahnya pernah berkata, “Oh awan, pergilah engkau ke mana jua, nescaya hasilnya akan kembali kepadaku”. Namun, akhirnya jatuh tersungkur di tangan tentera bangsa Mongol yang tidak bertamadun dan tiada asas sains. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terkorban dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat.

Sama halnya dengan kejatuhan Islam di Sepanyol. Semua tahu tiada langsung peninggalan Islam di negara Eropah itu sekarang, yang tinggal jika ada pun hanyalah kesan tinggalan monumen. Lihat sahaja bagaimana cara pemerintah Islam pada saat kejatuhannya menyerahkan kunci kota Granada dengan keadaan tunduk penuh kehinaan kepada Raja Isabella yang berdiri dengan penuh kebongkakan. Tidakkah kita terfikir di mana umat Islam yang ramai di Sepanyol pada zaman pemerintahan Islam Umayyah sehingga dikatakan ratusan umat Islam boleh memenuhi Masjid Cordoba yang besar pada satu-satu masa dahuluu. Ada yang menyebut selepas pemerintahan Islam digulingkan, ratusan umat Islam dibunuh setuap hari sehingga tidak ada seorang pun orang Islam yang tinggal. Amat mendukacitakan dan memalukan. Empayar Islam ini tumbang di tangan tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid ditukar menjadi gereja serta tiada lagi suara azan kedengaran.

Betapa kita lihat punca kejatuhan kegemilangan Islam ini disebabkan oleh kealpaan dan kelemahan umat islam sendiri. Kita disogokkan dengan keseronokan dunia sehingga menyebabkan kita terpesong jauh daripada ajaran Islam sebenar. Sedarlah semua ini adalah taktik orang kafir untuk menghancurkan Islam secara senyap. Orang kafir sudah tahu dengan cara ini sahaja Islam boleh dilemahkan kerana mereka sedar jika umat Islam kuat dan berpegang teguh pada Islam, pasti mereka akan kalah dalam mana-mana aspek kehidupan. Perkara ini sebenarnya pernah disedari oleh bekas perdana menteri Britain, William Gladstone puluhan tahun dahulu yang mana berkata “Selagi al-Quran dihayati oleh orang Islam, maka Eropah tidak akan berjaya selama-lamanya”. Nah, sudah jelas perancangan jahat mereka kepada umat Islam. Jika dahulunya Islam umpama api yang marak menyala tetapi Islam kini ibarat singa yang tidur, mempunyai kuku dan taring yang tajam tetapi lena dibuai mimpi. Jika adapun umat Islam yang sedar, mereka seolah-olah tidak dapat melakukan apa-apa kerana masing-masing meletakkan kepentingan diri lebih tinggi dari kepentingan Islam. Benarlah apa yang telah Rasulullah saw sabdakan berkenaan keadaan umat pada masa kini, “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Seseorang berkata, “Apakah kerana kami sedikit ketika itu?” Beliau bersabda “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali tetapi kamu umpama buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa gerun musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahn.” Seseorang bertanya, Apakah wahn itu?” Baginda menjawab “Cinta dunia dan takut mati.” (HR Abu daud)

Maka timbul persoalan apa yang kita semua perlu buat sekarang. Adakah hanya sekadar berpeluk tubuh bergantung harap kepada orang kafir? Apa yang perlu dibuat sekarang untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam? Jawapannya mudah, umat Islam perlu kembali semula menghayati Al-Quran dan As-sunnah. Dengan cara ini sahaja Islam boleh dikembalikan kecemerlangnnya dahulu.. Sebagaimana Allah rakamkan dalam surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud, “Dan barang siapa mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi”

Jangan biarkan sejarah hitam lampau berulang lagi kepada generasi islam pda masa depan. Hanya mengenali dan mempelajari sejarah sahaja kita tidak akan tertipu lagi. Pengetahuan tentang sejarah amat penting yang mana mengajar kita erti kemenangan dan kekecewaan. Di sini, kita bersyukur kerana banyak sekali program berunsur kerohanian yang dianjurkan. Bagi mahasiswa, sertailah mana-mana program yang boleh meningkatkan pengetahuan tentang Islam. Dengan cara ini tapak pembinaan muslim yang mantap boleh dihasilkan. Kita mengharapkan dengan adanya tapak yang kukuh ini sekali gus mampu mencapai ketamadunan Islam yang hebat semula dengan cara menonjolkan Islam dalam diri sendiri dan menyeru kepada yang lain agar sentiasa sedar siapa kita di sisi pencipta.

Segalanya terserah pada kita, sesungguhnya Islam pasti akan bangkit jua nanti. Soalnya, adakah kita hendak menjadi golongan yang hanya melihat Islam bangkit tanpa menyertainya, atau kita hendak menjadi sebahagian daripada watak dalam menjayakan kebangkitan Islam? Tidakkah kita semua rindu dengan sistem Islam yang pernah suatu masa mentadbir dunia dengan adil, bukan sahaja kepada umat Islam bahkan turut dirasai bukan Islam? Ayuhlah pada mujahid dan mujahidah, kita kembalikan kegemilangan Islam bersama!

Allahu ‘Alam

(Diadaptasi daripada Sinar keluaran Ogos 2009)

Mohd Shahridwan bin Ramli
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang,segala puji bagiNya,dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Membaca al-Quran adalah satu amalan yang amat digalakkan bagi seorang Islam. Ini ialah kerana al-Quran ialah kitab Hidayahdari Allah yang diturunkan bagi menjawab doa yang kita ulang-ulangkan di dalam surah al-Fatihah:

“ Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”. (surah al-Fatihah: 6)


maka di jawab oleh Allah:

“ Alif, Lam, Mim. Inilah kitab yang tiada keraguan di dalamnya merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”. (surah al-Baqarah: 1,2)

Bukankah Puasa Ramadan diwajibkan untuk membimbing kita ke arah taqwa dan kitab al-Quran itu merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.

Al-Quran ialah petunjuk bagi orang yang bertaqwa yang mana salah satu cara mendapat darjat ketaqwaan ialah dengan berpuasa pada bulan Ramadan yang didalamnya diturunkan al-Quran. Di dalam rangkaian ayat mengenai kewajipan berpuasa, Allah berfirman:

“ Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi umat manusia, penerang kepada petunjuk dan pembeza (anatra haq dan batil).”
(surah Al-Baqarah: 185)

Mohd Shahridwan bin Ramli
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang,segala puji bagiNya,dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw.

Wah.....Aku begitu tertekan cuti ini.There were a lot of things happened to me.Banyak masalah dan ujian yang aku lalui pada tika ini yang tidak nampak satu mana pun yang aku lepasi.Aku cuba amati ujian dan permasalahan ini dari segi rahmat dan kasih sayangNya.Namun tidak kutemui jua lagi jawapanNya.

Aku tahu namun belum cukup diri aku untuik memahami tentang ujian kasih sayangNya ini.Memang benar Dia lemparkan seribu satu permasalahan agar aku benar-benar mencarinya. Aku lemas dan tak bermaya.KepadaMu tuhanku,aku meminta dan memohon sebenar-benarnya kekuatan yang bersumberkan dariMu.Zikir terhadapMu.Tilawah ayatMu.Solat mengingatiMu.
Adakah benar bulan mulia ini adalah kemuncak kepada ujianMu ya Allah.Aku benar-benar lemah kadang-kadang.Tidak kutahu ke mana dan di mana ingin kuadukan.Hanyalah padaMu jua kuberserah dan kuberharap.

Mungkin aku adalah dari golongan yang tidak sabar-sabar dan terburu-buru.Ya Allah,kumohon padaMu agar berkahi aku,limpahi rahmatMu,tunjukilah jalan,hulurkan hidayahMu..

Iktibar ujian sabar dan kesedihan serta kesusahan telah dialami oleh segenak makluk yang ada di muka bumi ini.Boleh jadi semua.Walhal anak raja sekalipun yang pening memikirkan tampuk kepimpinan yang bakal diserahkan kepadanya.Dunia hari ini seakan jelas menggambarkan begitu.Mungkin sudah memang sunnatullah seseorang itu akan mengalami tahap kejatuhan dalam hidupnya.Tahap kemuncak bila dia diuji.Samaada dengan ujian kesenangaan,kesusuahan dan pelbagai.Hanyalah pada perspeksi yang berebza seseoarang itu mentafsirkannya.

Aku mengajak diriku me lihat sejarah dulu memperlihatkan suatu perjalanan nabi dan para pewarisnya mendokong agama ini.Tiada satu pun jalan mudah.Ujian demi ujian yang bertimpa-timpa dialaminya.Bukan sahaja berbentuk pribadi malah dari segenap aspek,ruang dan perjalanan.Ekonomi,masyarakat dan negara.Perjalanan baginda dimulai dengan penentangan kaumnya sendiri dan membawa kepada kewafatan orang kesayangan baginda,seterusnya pemulauan Bani Hasyim dan Bani Mutalib. Bukan baginda sahaja,namun sahabat-sahabat baginda jua,bayangkanlah tika para sahabat bertanya bila datangnya pertolongan Allah,baginda menjawab yang para sahabat itu termasuk dalam golongan yang terburu-buru.Umat dahulu digergaji dan disiksa.Kerna tika inilah golongan yang disebut assabiqul al awalaun mula terbina,terbentuk yang menjadi dasar kepada terbinanya sebuah tamadun,tercipta sebarisan ummat yang mampu menguasai hampir segenak dunia ini.Namun,ujian datang lagi bertimpa-timpa dengan kejatuhan tamadun KITA ini yang memang dirasai hingga kini.

Ingin lagi kubawakan pada diriku sendiri akan seberapa ayatNya yang mungkin dapat menenangkan,memujuk serta membuat diriku terfikir.


Bahkan Allah s.w.t sendiri menjelaskan hal ini melalui firmanNya dalam AlQuran:


أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ


Maksudnya; Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”al-Mukminun:115.

Dan dalam ayat yang lain Allah s.w.t menerangkan;


أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ.


Maksudnya; Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Sabda Rasulullah sa.w;


إن من أشد الناس بلاء الأنبياء


Maksudnya; Sesungguhnya manusia yang paling berat menerima ujian ialah para Nabi.


Permasalahan dan ujian aku hanayalah kerdil berbanding baginda rupanya. dan daripada ayat dan hadis di atas, dapat difahami hakikat kehidupan dunia ini adalah sebagai ujian, ia bertujuan untuk menilai diri seseorang samada baik atau sebaliknya.


Apabila aku menyedari inilah hakikat kehidupan, maka aku tidak seharusnya berputus asa atau kecewa apabila aku menerima ujian dan gagal mengatasinya walaupan aku telah berusaha.


Pegangan aqidah menetapkan bahawa Allah s.w.t sahaja yang berkuasa untuk menentukan sesuatu perkara sedangkan manusia hanya berusaha. Penetapan kejayaan bukan ditangan manusia, kerana sekiranya kejayaan itu ditangan manusia sudah pasti tidak ada orang yang gagal didunia.


Ujian yang dihadapi berbeza antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Ada yang diuji dengan kegagalan dalam sesuatu perkara, ada yang diuji dengan penindasan dan masalah, ada yang diuji dengan kebaikan, kekayaan, kemiskinan dan bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan, dosa-dosa, dan sebagainya.


Allah s.w.t melarang aku dari berputus asa. Allah menyatakan dengan jelas dalam Al-Quran bahawa sifat putus asa bukanlah sifat seorang Muslim. Seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara. Allah swt telah menjelaskan hal ini dalam menceritakan kisah Nabi Yaakub dan anak-anaknya:


يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ


Maksudnya; Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya, Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.Yusuf:87.

Bahkan sehingga orang yang berdosa sekalipun tidak dibenarkan berputus asa sama sekali kerana keampunan Allah s.w.t itu sangat luas. Allah menjelaskan hal ini dalam sebuah ayat yang sugguh indah maknanya:


قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ


Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani”. Al-Zumar:39


Justeru, aku perlu lebih berusaha dan tidak perlu berputus asa.Aku masih mempunyai keluargaku yang sentiasa bersamaku.Masih mempunyai sahabatku yang selalu menyokongku dan paling penting aku mempunyai penciptaku yang sentiasa mendengar rintihanku.Tiada alasan untukku menangis dan bersedih.La Tahzan ya Akhi shahridwan

Allah sentiasa bersama dengan kamu;


إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ


Maksudnya; Tatkala Rasulullah berkata kepada sahabatnya ( Abu Bakar ) Janganlah kamu bersedih kerana Allah besama kita, lalu Allah s.w.t memberikan ketenangan kepadanya.Ayat ini membuatku berfikir sesaat.


Allah hampir denganku dan mendengar rintihanku serta gembira dengan hamba yang kembali kepadaNya;


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ


Maksudnya;Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Allah sayang kepada hamba-hambaya yang kembali kepadanya;


إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ


Maksudnya; Sesungguhnya Allah sayang kepada orang-orang yang bertaubat dan menyucikan dirinya.


Kemudian,Allah mengingatkan diriku serta semua supaya mengutamakan solat dan menjadikannya sebagai salah satu alat atau rahsia dalam menghadapi ujian selain kesabaran yang tinggi.


"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'. (iaitu) mereka yang yakin, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya." (Al-Baqarah:45-46)


Seperti yang termaktub di dalam ayat di atas, dalam memohon pertolongan kepada Allah, aku hendaklah memohon dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Sekiranya ditakdirkan, Allah tidak memakbulkan permohonanku, hendaklah aku sabar. Kerana sesungguhnya Allah telah menyusun apa yang terbaik buat diriku. Dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buatku.


Lagi,selain ayat itu,aku jua biasa mendengar ayat ini.


Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan salat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.(Al-Baqarah-153).


Ya Allah,andai kesengsaraan yang kualami hanyalah setitis air mata ataupun tiada sesampai itu,panjangkanlah moga aku menjadi hambaMu yang bersyukur.Namun,kupohon padaMu agar menunjuki aku jalannya,dan hanya kepadaMu jaualah aku bergantung harap.Andai ujian ini merupakan tarbiyah buat diriku,supaya aku menghargai apa yang kumiliki sekarang,supaya aku sedar bukannya mudah memiliki cintaMu,melintasi siratMu dan bersama-sama kekasihMu di syurga nanti.

Memang aku tahu banyaknya nilai dan bayaran yang tak mungkin mampu aku bayar dengan hidayahMu ini.Namun,bantulah aku dalah ujian ini agar aku memperolehi rahmatMu....
Hanya ini mampu kucoretkan tanpa meceritakan masalah itu dan biar aku dan Engaku sahaja yang mengetahuinya...