Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang,segala puji bagiNya,dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw.
Kali ini penulis ingin membawa pembaca menyoroti sejarah sebuah ummah yang pernah menguasai dunia pada suatu ketika duhulu. Penulis juga ingin membongkar punca kejatuhan kecemerlangan tamadun Islam lampau serta berkongsi resepi dengan pembaca bagaimana untuk mengembalikan sinar gemilang Islam semula.
Sedar atau tidak, umat Islam pada masa lampau pernah gah dalam bidang keilmuannya. Sebut sahaja dalam bidang mana umat islam tidak menerokainya, dari ilmu falak sehinggalah ke ilmu geologi, semua dikaji dan diterokai sepenuhnya oleh umat Islam lampau. Mustahil kita tidak pernah mendengar nama Ibnu Sina yang amat mahir dalam bidang kedoktoran, Ibnu Batutta dengan kepakaran ilmu pelayarannya. Masakan kita lupa dengan nama Al-Haitham yang sinonim dengan keilmuan fiziknya yang tinggi serta kepintaran ilmu hisab dan matematik, Al-Jabbar. Bahkan ramai lagi ilmuan serta sarjana Islam yang mempelopori bidang keilmuan sains dan teknologi ini. Betapa kita amat bangga sekali dengan ketokohan dan ketinggian ilmu mereka. Bertambah bangga kita apabila mereka turut mengadaptasi ilmu mereka dalam skop Islam sehingga menjadi bahan rujukan seluruh dunia hingga kini. Begitu tinggi semangat umat Islam lampau untuk memastikan Islam dipandang tinggi.
Cukup bagi kita untuk menggambarkan kisah seorang tokoh Islam yang meluaskan pengaruh Islam dengan semangat jihad yang tinggi dan taqwa sebagai perisainya. Bersama kita renungkan kisah seorang pemuda Islam yang berjaya membuka Constantinople di Turki pada usia 21 tahun. Beliau yang dimaksudkan ialah Sultan Muhammad Al-Fatih. Beliau menemui teknik luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas yang amat sukar dimasuki kerana dihalang dengan rantai besi bagi tujuan pertahanan kota Constantinople pada masa itu. Beliau menyarankan kepada tenteranya agar membawa kapal-kapal masuk ke perairan melaui jalan darat. Dengan semangat dan kekuatan luar biasa, mereka telah berjaya menarik 70 buah kapal dari pantai melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi tiga batu dalam hanya satu malam sahaja. Semangat yang tinggi ditunjukkan oleh Al-Fatih dan tenteranya ini cukup untuk menimbulkan izzah atau bangga dalam diri kita sebagai umat Islam sampai ke hari ini. Masakan tidak, bukan calang-calang orang yang boleh melakukannya. Sudah beberapa kali usaha penaklukan kota ini dilakukan tetapi semuanya menemui kegagalan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah saw. “Sesungguhnya Constantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.” (HR Imam al-Hakim, Imam ath-Thabrani dan Imam Ahmad)
Pembaca yang bijaksana,
Itu hanyalah secebis peristiwa yang kekal tersimpan dalam lipatan sejarah ummah. Kita berbangga dengan kecanggihan teknologi dan ketamadunan Islam lampau. Kita berbangga dengan sejarah penaklukan dan pemerintahan umat Islam lampau hampir dua per tiga dunia. Kini, Masjid Aya Sofya di Turki hanyalah dijadikan muzium dan tiada lagi alunan azan berkumandang. Nyata impak yang berlaku pada zaman kejatuhan sistem khulafa pada tahun 1924 kepada dunia Islam amat besar. Kita tidak lupa bagaimana Sultan Abdul Hamid II diguling dan dihalau dari istananya dengan cara yang sangat mengaibkan. Berakhirnya era khulafa Islam digantikan dengan cara pemerintahan Mustafa Kamal At-Tartuk yang dilaknat. Juga kita lihat bagaimana Abasiyyah yang begitu maju dalam keilmuan sainsnya dan berjaya menguasai hampir seluruh populasi dunia ketika itu, sehingga khalifahnya pernah berkata, “Oh awan, pergilah engkau ke mana jua, nescaya hasilnya akan kembali kepadaku”. Namun, akhirnya jatuh tersungkur di tangan tentera bangsa Mongol yang tidak bertamadun dan tiada asas sains. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terkorban dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat.
Sama halnya dengan kejatuhan Islam di Sepanyol. Semua tahu tiada langsung peninggalan Islam di negara Eropah itu sekarang, yang tinggal jika ada pun hanyalah kesan tinggalan monumen. Lihat sahaja bagaimana cara pemerintah Islam pada saat kejatuhannya menyerahkan kunci kota Granada dengan keadaan tunduk penuh kehinaan kepada Raja Isabella yang berdiri dengan penuh kebongkakan. Tidakkah kita terfikir di mana umat Islam yang ramai di Sepanyol pada zaman pemerintahan Islam Umayyah sehingga dikatakan ratusan umat Islam boleh memenuhi Masjid Cordoba yang besar pada satu-satu masa dahuluu. Ada yang menyebut selepas pemerintahan Islam digulingkan, ratusan umat Islam dibunuh setuap hari sehingga tidak ada seorang pun orang Islam yang tinggal. Amat mendukacitakan dan memalukan. Empayar Islam ini tumbang di tangan tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid ditukar menjadi gereja serta tiada lagi suara azan kedengaran.
Betapa kita lihat punca kejatuhan kegemilangan Islam ini disebabkan oleh kealpaan dan kelemahan umat islam sendiri. Kita disogokkan dengan keseronokan dunia sehingga menyebabkan kita terpesong jauh daripada ajaran Islam sebenar. Sedarlah semua ini adalah taktik orang kafir untuk menghancurkan Islam secara senyap. Orang kafir sudah tahu dengan cara ini sahaja Islam boleh dilemahkan kerana mereka sedar jika umat Islam kuat dan berpegang teguh pada Islam, pasti mereka akan kalah dalam mana-mana aspek kehidupan. Perkara ini sebenarnya pernah disedari oleh bekas perdana menteri Britain, William Gladstone puluhan tahun dahulu yang mana berkata “Selagi al-Quran dihayati oleh orang Islam, maka Eropah tidak akan berjaya selama-lamanya”. Nah, sudah jelas perancangan jahat mereka kepada umat Islam. Jika dahulunya Islam umpama api yang marak menyala tetapi Islam kini ibarat singa yang tidur, mempunyai kuku dan taring yang tajam tetapi lena dibuai mimpi. Jika adapun umat Islam yang sedar, mereka seolah-olah tidak dapat melakukan apa-apa kerana masing-masing meletakkan kepentingan diri lebih tinggi dari kepentingan Islam. Benarlah apa yang telah Rasulullah saw sabdakan berkenaan keadaan umat pada masa kini, “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Seseorang berkata, “Apakah kerana kami sedikit ketika itu?” Beliau bersabda “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali tetapi kamu umpama buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa gerun musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahn.” Seseorang bertanya, Apakah wahn itu?” Baginda menjawab “Cinta dunia dan takut mati.” (HR Abu daud)
Maka timbul persoalan apa yang kita semua perlu buat sekarang. Adakah hanya sekadar berpeluk tubuh bergantung harap kepada orang kafir? Apa yang perlu dibuat sekarang untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam? Jawapannya mudah, umat Islam perlu kembali semula menghayati Al-Quran dan As-sunnah. Dengan cara ini sahaja Islam boleh dikembalikan kecemerlangnnya dahulu.. Sebagaimana Allah rakamkan dalam surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud, “Dan barang siapa mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi”
Jangan biarkan sejarah hitam lampau berulang lagi kepada generasi islam pda masa depan. Hanya mengenali dan mempelajari sejarah sahaja kita tidak akan tertipu lagi. Pengetahuan tentang sejarah amat penting yang mana mengajar kita erti kemenangan dan kekecewaan. Di sini, kita bersyukur kerana banyak sekali program berunsur kerohanian yang dianjurkan. Bagi mahasiswa, sertailah mana-mana program yang boleh meningkatkan pengetahuan tentang Islam. Dengan cara ini tapak pembinaan muslim yang mantap boleh dihasilkan. Kita mengharapkan dengan adanya tapak yang kukuh ini sekali gus mampu mencapai ketamadunan Islam yang hebat semula dengan cara menonjolkan Islam dalam diri sendiri dan menyeru kepada yang lain agar sentiasa sedar siapa kita di sisi pencipta.
Segalanya terserah pada kita, sesungguhnya Islam pasti akan bangkit jua nanti. Soalnya, adakah kita hendak menjadi golongan yang hanya melihat Islam bangkit tanpa menyertainya, atau kita hendak menjadi sebahagian daripada watak dalam menjayakan kebangkitan Islam? Tidakkah kita semua rindu dengan sistem Islam yang pernah suatu masa mentadbir dunia dengan adil, bukan sahaja kepada umat Islam bahkan turut dirasai bukan Islam? Ayuhlah pada mujahid dan mujahidah, kita kembalikan kegemilangan Islam bersama!
Allahu ‘Alam
(Diadaptasi daripada Sinar keluaran Ogos 2009)